Monday, March 14, 2022

BUKA CINCIN MASA MASUK TANDAS

BUKA CINCIN MASA MASUK TANDAS

 

عَنْ أَنَسٍ قَالَ: «كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْخَلَاءَ وَضَعَ خَاتَمَهُ»

Daripada Anas bin Malik berkata: “Nabi apabila hendak masuk tandas, baginda menanggalkan cincinnya”

 

SANAD ABU DAUD, HADIS NO: 19

 

حَدَّثَنَا نَصْرُبْنُ عَلِيٍّ عَنْ أَبِي عَلِيٍّ الْحَنَفِيِّ عَنْ هَمَّامٍ عَنِ ابْنِ جُرَيْجٍ  عَنِ الزُّهْرِيِّ عَنْ أَنَسٍ

 

MUNGKAR

 

Hadis ini MUNGKAR dengan alasan-alasan berikut;

 

[A] Hadis ini tafarrud dari jalur HAMMAM yang ALBANI kata, dia seorang mudallis yang dia riwayatkan secara عنعنة

 

[B] HAMMAM itu pula seorang yang waham. Kata Abu Daud:

وَالْوَهْمُ فِيهِ مِنْ هَمَّامٍ، وَلَمْ يَرْوِهِ إِلَّا هَمَّامٌ

“Waham pada hadis ini daripada Hammam. Dia tidak meriwayatkan hadis ini kecuali dari HAMMAM”

 

PENJELASAN: Bukti waham IBN JURAIJ itu, dijelaskan oleh al-‘Azim al-Abadi dalam kitab AL-AUN bahawa HAMMAM mengambil hadis ini dari IBN JURAIJ ketika mereka bertemu di BASRAH.

 

Sebarang hadis yang diriwayatkan dari JURAIJ semasa dia di Basrah ada kecacatan, kerana dia melakukan tadlis semasa ambil hadis dari al-Zuhri dengan mengugurkan perawi bernama ZIYAD BIN SA’AD.

 

Al-‘Azim Abadi turut menjelaskan bahawa HAMMAM adalah Rijal Bukhari dan Muslim, tetapi kedua-dua imam besar hadis ini tidak riwayatkan riwayat HAMMAM ketika dia berada di Basrah, tetapi riwayatkan dari HAMMAM jika dia ambil hadis ketika di tempat lain.

 

[C] Sanad hadis ini doif yang ia bercanggah dengan sanad yang Sahih.

 

PENJELASAN: Dalam istilah ilmu hadis, apabila sesuatu hadis yang sahih bertembung dengan hadis yang lebih sahih, maka hadis yang sahih itu disebut sebagai SYAZ, sedangkan hadis yang lebih sahih itu disebut sebagai MAHFUZ.

 

Demikian juga, apabila hadis yang doif bertembung dengan hadis yang sahih, maka hadis yang doif itu disebut MUNGKAR dan hadis yang sahih itu disebut sebagai MA’RUF.

 

Justeru, dalam hadis bab ini, Abu Daud kata MUNGKAR. Dalam erti kata yang lain, Abu Daud mahu menyatakan sanad hadis ini doif yang bertembung dengan sanad yang sahih (makruf). Makanya, Abu Daud pun membawakan sanad yang makruf itu adalah seperti berikut;

وَإِنَّمَا يُعْرَفُ، عَنِ ابْنِ جُرَيْجٍ عَنْ زِيَادِ بْنِ سَعْدٍ عَنِ الزُّهْرِيِّ عَنْ أَنَسٍ، «أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اتَّخَذَ خَاتَمًا مِنْ وَرِقٍ، ثُمَّ أَلْقَاهُ»

 

Dalam erti kata yang lain, Abu Daud menjelaskan bahawa mungkar hadis bab adalah kerana, pada sanad dikatakan IBN JURAIJ ambil hadis dari AL-ZUHRI, walhal sebenarnya tidak. Dalam erti kata lain, hadis bab, dari sudut sanadnya adalah doif kerana terputus sanad (munqati’).

 

Justeru, Abu Daud bawakan sanad yang sahih bahawa di dapati ada perawi antara IBN JURAIJ dan AL-ZUHRI, iaitu ZIYAD BIN SA’AD.

 

Dan abu Daud menjelaskan, punca kekeliruan ini bermula dari perawi bernama HAMMAM:

وَالْوَهْمُ فِيهِ مِنْ هَمَّامٍ، وَلَمْ يَرْوِهِ إِلَّا هَمَّامٌ"

 

Dari sudut matan pula, jika dilihat kedua-dua hadis ini, didapati ada perbezaan seperti berikut;

 

Pada hadis yang mungkar, dinyatakan bahawa Nabi saw membuang cincin semasa baginda saw mahu qadha’ hajat.

 

Pada hadis yang Ma’ruf pula, dinyatakan bahawa nabi saw memakai cincin dari perak, kemudian baginda membuangnya.

 

Hal ini dikuatkan dengan hadis yang lain—daripada Anas bin Malik:

 

أَنَّهُ رَأَى فِي يَدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَاتَمًا مِنْ وَرِقٍ يَوْمًا وَاحِدًا، ثُمَّ إِنَّ النَّاسَ اصْطَنَعُوا الخَوَاتِيمَ مِنْ وَرِقٍ وَلَبِسُوهَا، فَطَرَحَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَاتَمَهُ، فَطَرَحَ النَّاسُ خَوَاتِيمَهُمْ

“Pada suatu hari, dia (Anas) nampak di tangan Rasulullah saw ada cincin dari perak. Kemudian, ramai orang turut membuat cincin dari perak dan mereka memakainya. Rasulullah pun membuang cincinnya itu, dan turut sama membuang oleh orang ramai cincin masing-masing” (al-Bukhari, hadis no: 5868)

 

Jelas bahawa kedua-dua hadis ini membincangkan dua isu yang berbeza.

 

SYAZ PADA MATAN

 

Dari sudut sanad, hadis ini adalah MUNGKAR. Namun, matan hadis yang MA’RUF—Anas bin Malik bin malik menyebut bahawa Nabi saw membuang itu adalah cincin perak. Hal ini bercanggah  dengan hadis yang lebih sahih.

 

SATU: bercanggah dengan hadis Ibn Omar bahawa cincin yang dibuang oleh nabi itu EMAS. Bahkan, selepas membuang cincin emas, nabi memakai cincin perak.

 

Hadis itu—daripada Abdullah bin Umar:

 

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اتَّخَذَ خَاتَمًا مِنْ ذَهَبٍ، وَجَعَلَ فَصَّهُ  مِمَّا يَلِي كَفَّهُ، فَاتَّخَذَهُ النَّاسُ، فَرَمَى بِهِ وَاتَّخَذَ خَاتَمًا مِنْ وَرِقٍ أَوْ فِضَّةٍ

“Sesungguhnya Rasulullah saw memakai cincin dari EMAS yang baginda jadikan batunya bahagian dalam tapak tangan. Orang ramai pun turut membuat hal yang sama. Lalu Nabi saw pun membuangnya dan memakai cincin dari perak” (al-Bukhari, hadis no: 5865)

 

DUA: al-‘Azim Abadi dalam al-Aun membawakan satu riwayat dari Anas bin malik sendiri bahawa yang dipecat oleh Nabi bukan cincin perak, tetapi cincin emas:

 

عَنْ أَنَسٍ أَنَّهُ رَأَى فِي يَدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَاتَمًا مِنْ ذَهَبٍ فَاضْطَرَبَ النَّاسُ الْخَوَاتِيمَ فَرَمَى بِهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ لَا أَلْبَسُهُ أَبَدًا

“Anas melihat di tangan Nabi saw ada cincin dari emas. Manusia berlumba-lumba memakai cincin begitu. Nabi saw pun membuang dan berkata: aku tidak akan pakainya sampai bila-bila”.

 

Menurut al-‘Azim Abadi, hadis ini mahfuz dan sahih daripada Ibn Juraij.

 

Dalam kaedah ilmu hadis, apabila sesuatu hadis sahih bertembung dengan hadis yang lebih sahih, maka hadis yang sahih itu adalah SYAZ dan hadis yang lebih sahih itu adalah MAHFUZ.

 

Dalam hal hadis bab, dapat disimpulkan bahawa, walaupun hadis tersebut ma’ruf pada sanad itu tetapi syaz dari sudut matan. Dalam erti kata lain, hadis itu dari sudut matan tidak boleh dijadikan sandaran hujah.

 

Bahkan, Ibn Hajar al-Asqalani juga menyatakan bahawa hadis yang mahfuz adalah hadis Ibn Umar yang menyebut bahawa Nabi membuang cincin emas dan menggantikan cincin perak. Ibn Hajar turut menjelaskan bahawa hadis bahawa Nabi saw membuang cincin perak yang diriwayatkan oleh al-Bukhari itu itu ada waham dari Ibn Shihab al-Zuhri.

 

ISYKAL

 

Ada pihak berhujah bahawa hadis bab ini dikuatkan dengan sanad yang lain, iaitu sepertimana yang dikeluarkan oleh al-Daraqutni dalam Kitab al-Ilal seperti berikut;

 

عن سعيد بن عامر وهدبة بن خالد عن همام عن ابن جريج عن الزهري عن أنس به، وخالفهم عمرو بن عاصم فرواه عن همام عن ابن جريج عن الزهري عن أنس: أنه كان إذا دخل الخلاء نزع خاتمه

“Daripada Anas bahawa dia apabila masuk ke tempat Qadha’ Hajat, dia akan buang cincinya” (al-Daraqutni)

Hadis ini bersifat mawquf, bukan marfu’; ia adalah melibatkan amalan ANAS BIN MALIK, bukan amalan Nabi SAW. tambahan pula, hadis ini tidak boleh jadi Mutaba-‘ah, kerana masalah pada sanad hadis ini berlaku pada perawi bernama HAMMAM sedangkan sanad ini bermuarakan dari HAMMAM.

 

KESIMPULAN

 

Dari segala perbahasan ini dapat disimpulkan bahawa hadis bab adalah MUNGKAR. Namun, hadis yang MA’RUF pula tidak boleh dijadikan hujah juga kerana ia SYAZ dari sudut matan.

 

TAKHRIJ

 

Tarmizi (1844), Al-Nasaie (kubra-9470), Ibn Majah (303), Al-Hakim (1/187), Al-Baihaqi (1/94-95), AHKAM AL-KHAWATIM (IBN RAJAB—171).

 

Saturday, March 12, 2022

NABI BERZIKIR SETIAP MASA

NABI BERZIKIR SETIAP MASA

 

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: «كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَذْكُرُ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى كُلِّ أَحْيَانِهِ»

 

“Rasulullah selalu berzikir kepada Allah di setiap keadaan baginda”

 

SANAD ABU DAUD, HADIS NO: 18

 

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْعَلَاءِ حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي زَائِدَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ خَالِدِ بْنِسَلَمَةَ يَعْنِي الْفَأْفَاءَ عَنِ الْبَهِيِّ عَنْ عُرْوَةَ  عَنْ عَائِشَةَ

 

SAHIH

 

Hadis ini Sahih dengan alasan berikut;

[a] semua perawinya adalah siqah dan sahih.

[b] hadis ini dengan sanad yang sama ada dalam Sahih Muslim.

[c] disepakati siqah oleh ALBANI dan ARNAUT.

 

ISYKAL:

[a] Ada dakwaan kata, perawi bernama AL-BAHIY diragui.

JAWAB: Imam Muslim meriwayatkan hadis AL-BAHIY, serta dia dianggap siqah oleh Ibn Ma’in dan disenaraikan salah seorang perawi siqah oleh Ibn Hibban.

 

[b] ada dakwaan bahawa Zakaria bin Abi Za-idah melalukan tadlis.

JAWAB: TADLIS yang dilakukan oleh Zakaria hanya dari gurunya yang bernama Sya’bi, sedangkan hadis ini, dia ambil bukan dari Sya’bi, tetapi dari Khalid bin Salamah. Tambahan pula, dia adalah rijal Bukhari dan Muslim.

 

[c] Imam Tarmizi mengatakan hadis ini hasan gharib kerana dia tidak tahu jalur hadis ini  kecuali melalui Yahya bin Zakaria bin Abi Za-idah yang ambil dari bapanya, Zakaria sahaja.

JAWAB: Didapati ada jalur lain selain Yahya, iaitu dalam riwayat Ahmad (26376) menyebut sanadnya dari jalur al-Walid bin al-Qasim bin al-Walid yang statusnya adalah hasan. Berikut adalah sanad Ahmad:

حَدَّثَنَا الْوَلِيدُ بْنُ الْقَاسِمِ بْنِ الْوَلِيدِ، قَالَ: حَدَّثَنَا زَكَرِيَّا، قَالَ: حَدَّثَنَا خَالِدُ بْنُ سَلَمَةَ، عَنِ الْبَهِيِّ، عَنْ عُرْوَةَ بْنِ الزُّبَيْرِ، عَنْ عَائِشَةَ

 

Dengan ini disimpulkan bahawa hadis ini adalah Sahih.

  

TAKHRIJ


Muslim (373), Al-Tarmizi (3681), Ibn Majah (302), Musnad Ahmad (24410), Ibn Hibban (802), Al-Bukhari (mu’allaq—305)

 

Friday, March 11, 2022

NABI TIDAK SUKA BERZIKIR TANPA WUDUK

NABI TIDAK SUKA BERZIKIR TANPA WUDUK

 

عَنِ الْمُهَاجِرِ بْنِ قُنْفُذٍ أَنَّهُ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَبُولُ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ، فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ حَتَّى تَوَضَّأَ، ثُمَّ اعْتَذَرَ إِلَيْهِ فَقَالَ "إِنِّي كَرِهْتُ أَنْ أَذْكُرَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ إِلَّا عَلَى طُهْرٍ أَوْ قَالَ: عَلَى طَهَارَةٍ"

“Daripada Al-Muhajir bin Qunfuz bahawa dia datang berjumpa Nabi yang ketika itu baginda sedang buang air kecil. Dia pun memberi salam kepada Nabi, namun baginda tidak menjawab salamnya hingga berwudhu. Kemudian baginda meminta maaf seraya bersabda: "Sesungguhnya aku tidak suka menyebut nama Allah kecuali dalam keadaan suci”

 

SANAD ABU DAUD, HADIS NO: 17

 

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى حَدَّثَنَا عَبْدُ الْأَعْلَى حَدَّثَنَا سَعِيدٌ عَنْ قَتَادَةَ عَنِ الْحَسَنِ عَنْ حُضَيْنِ بْنِالْمُنْذِرِ أَبِي سَاسَانَ  عَنِ الْمُهَاجِرِ بْنِقُنْفُذٍ

 

SAHIH

 

Hadis ini sahih dengan alasan-alasan berikut;

(A)               Semua perawi hadis ini sahih.

(B)               Semua perawi adalah rijal bukhari dan muslim kecuali HUDHOIN BIN AL-MUNZIR ABI SASAN sahaja rijal Muslim.

(C)               Ia juga sahih atas syarat muslim.

(D)               Hadis ini disahihkan oleh Ibn Hibban, al-Hakim, al-Zahabi dan al-Nawawi.

(E)                Ada kritikan mengatakan bahawa AL-HASAN AL-BASRI adalah perawi tadlis. Makanya, hadis ini dianggap terputus sanad (munqati’). Kritikan ini dibantah dengan dikatakan TADLIS itu, jika dia riwayatkan hadis dengan diambil terus  sahabat. Namun, jika dia ambil hadis dari tabiin, maka hadisnya diterima dan boleh dibuat hujah.

 

TAKHRIJ

 

Al-Nasaie – (al-Kubra: 34), Ibn Majah- (350), Ahmad (19034), Sahih Ibn Hibban (803), Musnad Ahmad (19034)

 

Tuesday, March 8, 2022

NABI JAWAB SALAM SELEPAS TAYAMMUM

NABI JAWAB SALAM SELEPAS TAYAMMUM

 

عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: «مَرَّ رَجُلٌ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَبُولُ، فَسَلَّمَ عَلَيْهِ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ

Daripada Ibn Umar berkata: Pernah ada seorang lelaki melintasi Nabi ketika baginda sedang buang air kecil, lalu lelaki itu memberi salam kepada baginda, namun baginda tidak menjawab salamnya.

 

قَالَ أَبُو دَاوُدَ: وَرُوِيَ عَنِ ابْنِ عُمَرَ، وَغَيْرِهِ، «أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَيَمَّمَ ثُمَّ رَدَّ عَلَى الرَّجُلِ السَّلَامَ»

Abu Daud berkata: Diriwayatkan dari Ibn Umar dan selainnya, bahawa Nabi bertayamum, kemudian baginda menjawab salam lelaki tersebut”

 

SANAD ABU DAUD, HADIS NO: 16

 

حَدَّثَنَا عُثْمَانُ وَ أَبُو بَكْرِ قَالَا: حَدَّثَنَا عُمَرُ بْنُ سَعْدٍ عَنْ سُفْيَانَ عَنِ الضَّحَّاكِ بْنِ عُثْمَانَ عَنْ نَافِعٍ عَنِ ابْنِ عُمَرَ

 

SAHIH

 

Dari sudut sanad, hadis ini sahih dengan hujah berikut;

[a] hadis ini turut ada dalam sahih Muslim dengan sanad yang sahih.

[b] ada kritikan hanya pada perawi AL-DAHHAQ BIN OSMAN yang ALBANI anggap bahawa darjatnya sekadar hasan. Dengan itu, ALBANI anggap hadis ini sebagai hasan. Namun, apabila dilihat dalam sahih muslim, sanadnya juga ada perawi bernama AL-DHAHHAQ.

 

Dengan dua alasan ini, sudah cukup untuk disimpulkan bahawa hadis ini adalah SAHIH. Turut sama mengatakan ia SAHIH adalah ARNAUT.

 

TAKHRIJ

 

Muslim (370), Al-Tarmizi (90, 2917), Nasaie (Mujtaba: 37), Ibn Majah (353), Ibn Abi Syaibah (330, 331) – Ibn Abbas.

 


Sunday, March 6, 2022

NABI LARANG BERBUAL SEMASA QADHA' HAJAT

NABI LARANG BERBUAL SEMASA QADHA' HAJAT

 

عن ابي سَعِيدٍ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «لَا يَخْرُجُ الرَّجُلَانِ يَضْرِبَانِ الْغَائِطَ كَاشِفَيْنِ عَنْ عَوْرَتِهِمَا يَتَحَدَّثَانِ، فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَمْقُتُ عَلَى ذَلِكَ»

Daripada Abu Sa’id berkata, aku dengar Rasulullah saw bersabda: “Janganlah dua orang lelaki pergi ke tempat qadha’ hajat dalam keadaan kedua-dunya membuka aurat, lalu bercakap-cakap kerana sesungguhnya Allah membenci demikian”

 

SANAD ABU DAUD, HADIS NO: 15

 

حدَّثَنَا عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ بْنِ مَيْسَرَةَ، حَدَّثَنَا ابْنُ مَهْدِيٍّ، حَدَّثَنَا عِكْرِمَةُ بْنُ عَمَّارٍ، عَنْ يَحْيَى بْنِ أَبِي كَثِيرٍ، عَنْ هِلَالِ بْنِ عِيَاضٍ، قَالَ: حَدَّثَنِي أَبُو سَعِيدٍ

  

DOIF


Hadis ini dianggap DOIF dengan beberapa alasan berikut;

 

[a] HILAL BIN IYADH adalah perawi yang majhul. Namun begitu, Ibn Khuzaimah menjelaskan bahawa IKRIMAH adalah perawi yang terkeliru—dia telah MAQLUB pada pada HILAL BIN IYADH; sebenarnya perawi itu adalah IYADH BIN HILAL.

 

[b] hadis ini berlaku IDHTIRAB pada SANAD. Iaitu, terdapat beberapa jalur sanad yang tidak konsisten terhadap hadis ini. Dalam tahqiq Ahmad, Arnaut nukilkan semua sanad-sanad tersebut seperti berikut;

 

Satu: Ikrimah – yahya – Iyadh   – abi Said - Nabi

 

Dua: ikrimah – yahya – abi salamah – Abu Hurairah – nabi.

 

Tiga: Yahya – Abdullah bin Abi Qatadah – bapanya (Abi Qatadah) – Riwayat Aban al-Attar – nabi.

 

Empat: Yahya – Muhammad bin abdul Rahman bin Sauban – Jabir bin Abdullah.

 

Lima: Yahya bin Abi Kathir (mursal)

 

PENJELASAN: Induk dalam sanad ini adalah pada YAHYA, tetapi tidak jelas dari siapa yang YAHYA ambil hadis, apakah IYADH, atau ABU SALAMAH, atau ABDULLAH BIIN ABI QATADAH, atau MUHAMMAD BIN ABDUL RAHMAN ataupun, hadis ini YAHYA riwayat secara MURSAL.

 

[c] Dalam pelbagai jalur, semuanya bermuarakan dari YAHYA BIN ABI KATHIR.

 

Memandangkan dia sekadar perawi hasan yang mendapat kritikan dari ramai ulama hadis seperti didakwa dia melakukan idhtirab, maka sudah pasti hadis riwayatnya tidak diterima jika jalur hadis hanya dari dia sahaja.

 

[3] SYAWAHID DARI SUDUT MATAN

 

Walaupun hadis ini doif pada sanad, tetapi matannya ada syawahid yang menyebabkan ia boleh dibuat hujah. Jika hadis ini diriwayatkan oleh SAHABAT bernama ABU SA’ID AL-KHUDRI, dalam riwayat lain, SAHABAT LAIN, iaitu ABU HURAIRAH dengan sanad  ada sanad yang layyin meriwayatkan hadis berikut: (Albani, sahih al-targhib wa al-tarhib, hadis no: 156)

وعن أبي هريرة رضي الله عنهـ قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لا يخرج اثنان من الغائط فيجلسان يتحدثان كاشفين عن عوراتهما فإن الله عز وجل يمقت على ذلك

 

TAKHRIJ

 

Al-Nasaie (Kubra: 36, 37), Ibn Majah (342), Ahmad (11319)

 

 

 

SOPAN DALAM QADHA' HAJAT

SOPAN DALAM QADHA' HAJAT

 

عَنِ ابْنِ عُمَرَ «أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَرَادَ حَاجَةً لَا يَرْفَعُ ثَوْبَهُ حَتَّى يَدْنُوَ مِنَ الْأَرْضِ»

Daripada Ibn Umar: “Nabi saw apabila hendak qadha’ hajat, baginda tidak mengangkat pakaiannya hingga telah dekat dari tanah”

 

SANAD ABU DAUD, HADIS NO: 14

  

حَدَّثَنَا زُهَيْرُبْنُ حَرْبٍ حَدَّثَنَا وَكِيعٌ عَنِ الْأَعْمَشِ عَنْ رَجُلٍ عَنِ ابْنِ عُمَرَ

 

SAHIH

 

Hadis ini dinilai SAHIH dengan alasan berikut;

 

[a] Walaupun sanad hadis ini ada perawi MUBHAM--رجل, tetapi dalam sanad AL-BAIHAQI telah disebut bahawa perawi itu adalah AL-QASIM BIN MUHAMMAD (cucu Abu Bakar al-Siddiq) yang merupakan perawi yang siqah lagi faqih. Justeru, dakwaan munqati’ tidak valid.

[b] Turut sama mengatakan hadis ini sahih adalah AL-SAYUTI.

 

PENJELASAN SANAD LAIN

 

Imam Abu Daud membawakan sanad yang lain bagi hadis ini adalah seperti berikut;

 قَالَ أَبُو دَاوُدَ: رَوَاهُ عَبْدُ السَّلَامِ بْنُ حَرْبٍ عَنِ الْأَعْمَشِ  عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ  - وَهُوَ ضَعِيفٌ –

 

Sanad ini dinilai DOIF oleh Abu Daud bukan berfaktorkan ABDUL SALAM BIN HARB (91H-187H), kerana ulama kelahiran Basrah yang meninggal di Kufah ini adalah seorang yang siqah bahkan dia salah seorang rijal al-Bukhari.

 

Tetapi, hadis ini dinilai DOIF oleh Abu Daud dengan alasan MUNGQATI’—terputus sanad kerana didapati al-A’mash tidak pernah dengar hadis dari Anas bin Malik.

 

Al-Imam al-Tarmizi berkata dalam al-Sunan:

 

ويقال لم يسمع الأعمش من أنس ولا من أحد من أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم وقد نظر إلى أنس بن مالك قال رأيته يصلي فذكر عنه حكاية في الصلاة

“dikatakan bahawa al-A’mash tidak mendengar hadis dari Anas, dan juga seorang pun dalam kalangan sahabat Nabi. Yang pasti, al-A’mash pernah melihat Anas. Dia sendiri pernah kata, “aku lihat Anas menunaikan solat”. Dia menyebut itu dalam menghikayatkan berkenaan solat”

 

Walaubagaimana pun, kesimpulan Abu Daud bahawa sanad ini doif dengan alasan bahawa al-‘Amash tidak mendengar hadis dari Anas diragui, kerana AL-MUNZIRI ada  berkata:

 

وذكر أبو نعيم الأصبهاني أن الأعمش رأى أنس بن مالك، وابن أبي أوفى وسمع منهما، والذي قاله الترمذي هو المشهور

“Abu Nuaim al-Asbahanni menyebut bahawa al-A’mash melihat anas dan Abdullah bin Abi Awfa, dan MENDENGAR dari kedua-duanya. Yang menyatakan ini adalah al-Tarmizi—ini yang masyhur”

 

Dengan sebab itu, ALBANI tetap menegaskan bahawa hadis ini adalah SAHIH.

 

Dalam tambahan maklumat, seorang murid Abu Daud yang merupakan pencatat hadis-hadis Abu Daud bernama ABU ISA AL-RAMLI (320H) yang berasal dari Baghdad berkata berkenaan sanad yang kedua ini bermuara dari ABDUL SALAM BIN HARB seperti berikut;

قَالَ أَبُوعِيسَى الرَّمْلِيُّ  حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ الْوَلِيدِ  حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ عَوْنٍ  أَخْبَرَنَا عَبْدُ السَّلَامِ بِهِ

 

Walaubagaimana pun, ARNAUT anggap hadis ini HASAN.

 

 

AIR DIJILAT ANJING

  AIR DIJILAT ANJING   عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «طُهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَ...